
Isteri juruteknik terkejut lihat lubang besar di halaman rumah ketika hendak buang sampah
IPOH: Kegembiraan keluarga Saad Taib, 52, membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri, terjejas berikutan kejadian tanah jerlus di rumahnya awal pagi semalam.
Kejadian tanah jerlus yang berlaku dua hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri mengundang kesedihan kepada keluarga Saad kerana tidak mungkin dapat menyambut hari raya kali ini seperti biasa.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, kawasan halaman rumah milik juruteknik Politeknik Ungku Omar mendap sedalam lima meter dan menghasilkan lubang seluas lima meter.
Saad berkata, anak lelakinya, Mohd Azam Zuwairy, 13, terdengar bunyi tanah menggelungsur kira-kira jam 1 pagi.
"Apabila mendengar bunyi itu, Mohd Azam yang berada di tingkat atas cuba untuk melihat apa yang terjadi namun dia tidak dapat melihat kejadian tanah jerlus itu kerana gelap.
"Ketika itu, saya dan isteri, Zaiton Hashim, 49, serta anak perempuan kami, Nurul Asmah Nina, 15, sudah pun tidur dan kami tidak mendengar sebarang bunyi yang ganjil," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau berkata, kejadian tanah jerlus itu hanya disedari kira-kira jam 6.30 pagi selepas mereka sekeluarga bersahur dan menunaikan solat Subuh.
Saad berkata, ketika isterinya keluar untuk membuang sampah, beliau terkejut melihat lubang besar di halaman rumah dan terus membuat laporan di Balai Polis Ampang kira-kira jam 7.30 pagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Pulai, Alex Chan yang hadir untuk meninjau kejadian itu kemudian menghubungi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) supaya membantu memindahkan barang yang ada di rumah itu ke rumah Saad di Bercham.
"Ini sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan Saad dan keluarganya akan pulang berhari raya di Pulau Pinang," katanya.
Selain itu, enam lori daripada Kuari Simpang Pulai dipanggil MBI untuk menimbus lubang berkenaan dengan batu.
"Niat kami untuk berada lebih lama di kampung sempena Aidilfitri ini terpaksa dibatalkan kerana bimbang dengan keselamatan rumah ini.
"Bagaimanapun, MBI berjanji untuk memantau rumah saya sepanjang ketiadaan saya nanti," katanya.
Kejadian tanah jerlus yang berlaku di rumah Saad adalah kejadian tanah jerlus yang pertama berlaku di Taman Ampang.
Jabatan Mineral dan Geosains Perak masih menyiasat punca kejadian.
No comments:
Post a Comment